Me Me Me

Thursday 14 August 2014

Antanom Pahlawan Anak Rimba Berjiwa Besar



 Antanom atau nama sebenarnya Ontoros anak lelaki Antanom berumur dalam lingkungan 30 tahun (1885-1915) merupakan ketua kaum Murut di Rundun yang terkenal dan perkasa dari Borneo Utara (kini Sabah), Malaysia yang menurut sejarah lisan tempatan didakwa memiliki kuasa sakti.Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah "Pengayau.  Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. 
Orang pengecut tidak ada tempat dalam dunia rimba. Didalam keadaan persekitarannya bergolak oleh permusuhan kaum yang berpunca dari hutang darah, Antanom/Ontoros tidak ada pilihan, selain daripada berwatak keras dan berani. Jika pun dia menjadi jahat dari kacamata Inggeris, kerana tidak tunduk kepada kuasa mereka, bukanlah kerana Tuhan membentuknya menjadi orang ganas, tetapi  suasana persekitarannya yang memaksa Antanom/Ontoros bertindak demikian. Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman.          

Patung Ontoros Antanom di Tenom. 
     Antanom dikagumi bukan sahaja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) itu, tetapi lebh kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap SBUB didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang SBUB sudah dimulakan leh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya dibunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu berhenti buat sementara waktu. Api yang tidak menjilat batang , daun dan ranting; tidak bererti api tidak bersembunyi dibawah tanah memakan akar.
                Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap SBUB berpunca daripada hak mereka dicerobohi, SBUB melarang orang Murut membuka tanah baru. Akibatnya ialah mereka mengalami kekurangan beras. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, antaranya ialah cukai kepala sebanyak 1.00 dolar seorang, cukai tanaman pindah , 50 sen seekar, cukai pokok kepala untuk dibuat tuak, 25 sen sepokok dan cukai tangkapan ikan besar dan memelihara anjing sebanyak 1.00 dolar seekor. Kezaliman terhadap keluarga kaum Murut, misalnya suami isteri kaum Murut dikehendaki tinggal berasingan di seberang sungai, bayaran 1.00 dolar dikenakan setiap kali ingin menemui isteri mereka dan salah seorang anak kaum Murut daripada setiap anggota keluarga akan diambil oleh SBUB untuk dijadikan buruh paksa. Selain itu, kawasan hutan turut juga dicerobohi. Pembukaan hutan untuk membina jalan ditentang oleh kaum Murut kerana mengganggu roh nenek moyang mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar, kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.
           
                 Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila SBUB menghantar buat pertama kalinya seorang Pengawai Daerah Mazwell Hall, membuka stesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala.  Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau. Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Beberapa buah kubu pertahanan telah dibina di Selangit sebagai kubu induk atau digelar Silar Pinikit, diikuti oleh beberapa buah kubu lagi di Menining ulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang. Kubu-kubu ini dibina sekitar tahun 1913 sehingga tahun 1915 dengan panduan tenaga seluruh  kaum Murut di kawasan pendalaman. Serangan ke atas stesen Rundum merupakan serangan pramasa. Antanom
sebenarnya tidak ingin melancarkan serangan, kerana banyak kubu mereka yang belum dibina. Pada Februari 1915, Antanom mengetuai kaum Murut menyerang Pensiangan dan membakar bangunan kerajaan. Pada Mac 1915 , Antanom bersama 600 orang Murut menyerang Rundum. Pusat SBUB telah dimusnahkan dan pengikut Antanom meningkat kepada 900 orang. Ketika itu Antanom telah membina kubu di sungai Selangit yang mengandungi tujuh buah rumah bawah tanah. Pada April 1915, SBUB menghantar 400 askar menyerang kubu Antanom di Rundum. Selepas enam minggu bertempur , Antanom akhirnya tewas dan 400 orang pengikutnya turut terkorban.

                SBUB turut menghukum pengikut-pengikut Antanom yang terselamat dalam kebangkitan Rundum antaranya ialah seramai lapan orang kanan Antanom dibuang daereah ke Kudat dan yang lain dijadikan buruh paksa untuk memasang kabel telefon dari kimanis ke Keningau. SBUB telah mengarahkan orang Murut bersumpah taat setia bagi mengelakkan kebangkitan pada masa hadapan. Sebagai tindakan memprotes terhadap dasar SBUB tersebut, kaum Murut telah berpidah secara beramai-ramai ke pendalaman Kalimantan.
TUGU SEORANG PEJUANG – “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Seperti para pejuang kemerdekaan yang lain, Antanom merupakan pahlawan Murut yang unggul dimana beliau menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Sebagai tanda penghargaan dan peringatan terhadap jasanya memperjuangkan sebuah kemerdekaan, maka sebuah Tugu Peringatan telah dibina di Tenom. Kita sedia maklum bahawa Tenom amat terkenal dengan kopi yang dikenali sebagai Kopi Tenom. 

No comments:

Post a Comment