Me Me Me

Saturday 16 August 2014

PROFAIL DAERAH

Asal Usul Kota Marudu
Marudu berasal dari bahasa salah satu suku kaum di Sabah. Kata "MARUDU" berasal dari bahasa orang-orang BALANINI iaitu dari kata "MAIRUDU" atau MAIULUDU" yang dalam Bahasa Melayu membawa maksud "suatu kedudukan di situ-situ juga". Orang-orang Balanini yang mendiami perairan Teluk Marudu dan melakukan aktiviti menangkap ikan dan perdagangan laut di perairan Marudu sering kali belayar dari Limau-limauan Kudat menyusuri Teluk Marudu hingga ke Kg. Telaga Pitas. Apabila mereka belayar balik ke seberang teluk di Limau-limauan mereka akan melalui jalan pintas atau menyeberangi Teluk Marudu dan bukan lagi menyusuri Teluk Marudu. 
      Mereka yang berkomunikasi sesama orang laut apabila ditanya dari mana, mereka akan menjawab "Mairu du" atau "Mairu lu " atau dalam bahasa Melayu bererti "di situ juga" (merujuk kepada kedudukan geografi Teluk Marudu yang membentuk satu lingkungan teluk yang besar). Lama-kelamaan istilah Mairudu bertukar ke marudu dan mailudu menjadi Maludu. Justeru itu, penulis-penulis Barat sering kali merujuk Marudu sebagai Marudu, Marudo atau Maludu.
       Nama Marudu atau Marudu mula dipetakan oleh seorang ahli pelayaran Belanda pada tahun 1595 yang belayar dari Brunei melalui Marudu menuju ke Palawan dan seterusnya ke Pulau Sulu. Sewaktu di perairan Marudu beliau telah menemui orang-orang Balanini atau Banaran atau digelar juga oleh orang Sepanyol sebagai "Camucones" yang menjadi askar laut kerajaan Brunei dan Sulu ketika itu.
        Orang-orang Balanini juga menamakan beberapa tempat di kawasan Teluk Marudu menggunakan bahasa mereka, antaranya ialah "Matunggong" (bererti di hujung pulau kecil dari kata Ma Tong Gong iaitu sebuah pulau kecil di muara Sungai Matunggong di Teluk Marudu), Bak-Bak ( bererti tempat berjumpa dari kata "Bak", iaitu sekarang Pantai Bak-Bak di Kudat ), Bulih Adjung ( bererti buritan kapal jong dari dua kata iaitu Buli dan Adjung, sebuah tempat berhampiran sungai Tandek, Kota Marudu ),Sampang mangayau ( bererti menemui orang untuk beradu kekuatan, dari kata Sampang dan kata Mangayau ), " Pitas " dari kata "Pi Tas" ( Pitas dalam bahasa Balanini bererti "suatu keadaan yang satu tapi akhirnya tercerai atau terpisah secara tidak sengaja" ), Malubang dari kata "Ma Lobong" yang bererti "di tempat yang ada kuburan", Tombarungus ( dari kata "Tong Ma Rungus" yang bererti "Tanjung hujung yang dipunyai oleh orang Rungus " ) dan banyak lagi nama-nama tempat di perairan Teluk Marudu berasal dari perkataan Balanini.
        Kota Marudu asalnya bernama Bandau. Nama ini telah digunakan sejak sebelum Negeri Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia, sehinggalah tahun 1974. Menurut legenda daerah ini, Bandau adalah terbitan daripada perkataan 'Mondou' daripada dialek suku Momogun Rungus [Kadazandusun] yang bermaksud "ketua semua binatang buas" yang rupanya seakan-akan musang. Mondou dipercayai pada suatu masa dahulu dijumpai oleh Aki Rungsud kawasan di sepanjang Sungai Bandau.
       Manakala nama Kota Marudu yang digunakan untuk menggantikan Bandau adalah sempena peninggalan sebuah kota/kubu yang terletak di Teluk Bandau. Kota atau Kubu Marudu merupakan sebuah kota yang diperbuat daripada batu-batu, tanah dan kayu-kayu keras seperti belian dan nibung yang dibuat oleh Shariff Osman dan pengikut-pengikutnya untuk mempertahankan Kota Marudu daripada pencerobohan penjajah Kompeni British. 
       Di kawasan kota ini terdapat beratus-ratus (mungkin ribuan )kuburan-kuburan para pejuang yang berjuang menentang penjajah British dan juga Makam Shariff Osman dan anaknya Syariff Merum. Makam Sharif Osman dulunya mempunyai dua batu nisan yang jarak antara keduanya mencapai 20 kaki dan dipercayai memanjang setiap hari. Makam ini dulunya dijaga dan diletakkan kelambu kuning tetapi pada masa ini ia telahpun tidak diurus dan terbiar.
       Istilah Shariff Osman (lanun) sebenarnya adalah istilah yang diberikan oleh Penjajah British untuk memburuk-burukkan nama Shariff Osman. Menurut D.S Ranjit Singh, dalam Buku COMMERATIVE HISTORY OF SABAH 1881 - 1981, m.s 96, Syariff Osman diisytiharkan sebagai lanun dan pemberontak oleh Raja Muda Hashim ( Brunei ) dan sekutunya British dan James Brooke kerana Shariff Osman menjadi ancaman kepada pertuanan Brunei di Sabah dan James Brooke di Sarawak serta pihak British. Syariff Osman telah secara terbuka mengisytiharkan sokongannya terhadap Pengiran Yusoff yang berperang dengan Raja Muda Hashim / British dan mengistiharkan bahawa beliau menentang penjajahan British dan mengisytiharkan kerajaan sendiri. Tindakan ini mengugat kekuasaan pihak Brunei,James Brooke dan British. 
      Shariff Osman sebenarnya adalah pemerintah di kawasan Kota Marudu yang diperuntukkan oleh Sultan Sulu. Isteri Syariff Osman adalah seorang Puteri Sulu dan anak saudara Sultan Sulu. Shariff Osman adalah seorang berketurunan syariff berdarah campuran Suluk/Bajau/Brunei bersepupu dengan Syariff Masyhor di Sarawak yang terlibat menentang penjajah British sehingga dibuang negeri ke Singapura.
       Menurut bahasa Momogun Rungus pula, Kota Marudu berasal dari kata bahasa Momogun Rungus iaitu "Sindaat Mogkorudu" di mana kawasan Bandau selama hampir 100 tahun dalam kiraan kalendar Momogun Rungus telah ditinggalkan setelah perang melibatkan Sindaat [sihir] yang dilancarkan oleh Aki Sook, seorang Bobolizan Rovusan. 
       Menurut legenda Momogun Rungus, Bandau telah dibuka oleh Aki Rungsud sebagai satu pusat perdagangan sistem barter pada zaman lampau dan pada zaman Aki Sook telah berlaku perebutan kekuasaan antara Momogun Rungus Pilapazan dan Momogun Rungus Kirangavan yang mengakibatkan perang Sindaat [Sihir]. Setelah Sindaat Mogkorudu dilancarkan pusat perdagangan barter Momogun Purba itu telah ditinggalkan dan dikosongkan selama hampir 100 tahun iaitu selepas melalui kalendar Upacara Mamasi Pomogunan dan Upacara Managas.
        Shariff Osman memerintah Marudu atas perkenan Sultan Sulu. Walau bagaimanapun, akhirnya ia mendirikan 'independent chiefdom' yang berkecuali dan disebutkan "many people came to settle under his jurisdiction as he could provide protection and security ". R.S Singh " The Development of Native Administration in Sabah 1877-1946" dalam buku COMMERATIVE HISTORY OF SABAH 1881-1981, m.s. 96.Oleh itu, Shariff Osman sebenarnya adalah seorang Pemerintah Bebas, Pejuang, Pelindung Rakyat Marudu dan bukannya lanun.
        Menurut S.St.John dalam bukunya 'Life in the Forests of the Far East', London, 1863, pp.394-6 disebutkan bahawa penduduk yang mendiami Shariff Osman,s Chiefdom ( Marudu atau Maludu) dianggarkan lebih kurang 50,000 orang (tahun 1840an) dan pekerjaan utama penduduknya ialah penternakan dan nelayan. Syariff Osman terlibat dalam perang menentang penjajah Inggeris sekitar tahun 1840 an. 
        Sehingga pada hari ini Bandau yang dikenali dahulu mengambil nama Sindaat Mogkorudu [Marudu] yang dilancarkan oleh Aki Sook yang berperanan sebagai pelupus dosa-dosa Momogun dalam upacara Agama Labus iaitu agama leluhur Momogun Rungus. Mogkorudu bermakna "meratap atas kematian". Legenda ini terus hidup dalam suku Momogun Rungus. Manakala dalam Peta Penjajah Sepanyol abad ke-13 Marudu ditulis sebagai Maludu dan dipercayai adalah antara dokumen sejarah tertua yang mencatatkan nama Marudu.
     Seperti daerah-daerah lain di Sabah, Kota Marudu turut melahirkan pejuang-pejuang yang berjuang untuk menegakkan keadilan serta menghalau kedatangan penjajah yang cuba untuk menguasai daerah ini sambil mengaut keuntungan hasil bumi kita yang tidak ternilai banyaknya. Mereka sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk memastikan daerah ini tidak jatuh ke tangan penjajah dan memporak-porandakan kehidupan masyarakat pribumi.
     Sharif Osman merupakan antara tokoh terawal yang berjuang untuk menentang penjajah. Beliau dikatakan sebagai wakil kepada Kesultanan Sulu yang mentadbir wilayah Teluk Marudu. Kehadiran penjajah di Borneo Utara khususnya di Teluk Marudu telah mengganggu-gugat amalan kehidupan masyarakat setempat di daerah ini. Perbuatan penjajah tersebut menyebabkan timbul rasa tidak senang di hati Syarif Osman lantas melakukan beberapa serangan ke atas kapal dagang penjajah. Siri serangan yang dilakukan oleh beliau menimbulkan kemarahan penjajah lantas melakukan tindak balas dengan bantuan Rajah Putih Sarawak, James Brooke.
        Penjajah telah mencatatkan dalam sejarah bahawa Syarif Osman adalah seorang ketua lanun dan pemberontak di Teluk Marudu sekitar 1890-1895. Catatan itu membuat penduduk yang tinggal di daerah Kota Marudu tidak berpuas hati kerana setelah negara ini merdeka, mereka menyedari bahawa penentangan Sharif Osman itu sesuatu yang murni, yang tidak difahami oleh masyarakat setempat masa itu. Perjuangan beliau telah menjadi dorongan ke arah kelahiran semangat kebangsaan ia itu inginkan kebebasan dari kuasa kulit putih, penjajah Inggeris.
        Sharif Osman yang berkubu di muara sungai Marudu telah diserang oleh satu angkatan kapal perang Inggeris yang diketuai oleh Kapten Mundy. Pertempuran itu menyaksikan kehancuran kubu pertahanan Sharif Osman, sekaligus beliau turut terbunuh. Pengikut-pengikut Sharif Osman yang berundur dari kubu itu sempat membawa jenazah Sharif Osman untuk dikebumikan di luar dari kawasan kubu itu. Kini, kawasan kubu dan tanah perkuburan Sharif Osman itu telah menjadi satu tanda sejarah di daerah Kota Marudu. Manakala isteri Sharif Osman, Dayang Cahaya dan beberapa orang pengikut setia dikatakan melarikan diri ke Sugud menggunakan jalan darat melalui beberapa perkampungan iaitu kampung Tandek dan kampung Botition.
         Kejatuhan Sharif Osman di Teluk Marudu dalam usahanya menentang kuasa Penjajah tidak berakhir di situ sahaja.. Selepas itu muncul beberapa lagi pejuang tempatan dalam kalangan kaum Dusun seperti Si Gunting, Rindongon dan Kulindod dan lain-lain untuk menentang kuasa Inggeris. Bagaimanapun, kesemuanya mereka gugur sebagai bunga bangsa , kecuali Si Gunting yang telah berdamai dengan Inggeris.

Catatan yang menyebut Syarif Osman sebagai Lanun
''Pada hari ini 19.08.1845, satu pertempuran telah berlaku di antara tentera-tentera Inggeris dan pasukan tentera Sharif Osman di Marudu, Sarawak. Sharif Osman merupakan salah seorang pembesar dan ketua yang memerintah Marudu. Beliau juga salah seorang penentang utama James Brooke, di samping Pengeran Yusuf, Sharif  Sahab Malar dan lain-lain. Serangan ke atas orang-orang Inggeris dilancarkan melalui jalan laut. Serta Penentangan bertambah hebat apabila tindakan Sharif Osman mendapat sokongan daripada Syed Yusuf, Perdana Menteri Sultan Brunei yang juga bencikan campur tangan Inggeris ke atas kubu-kubu Brunei pada bulan Oktober 1844. Situasi ini menyebabkan James Brooke merasa bimbang dan beliau berusaha mendapatkan bantuan tentera dari Singapura. Beliau kemudiannya telah dibekalkan dengan kapal perang dan pasukan tentera diketuai oleh Thomas Cochrane. Akhirnya pada hari ini pasukan James Brooke ini telah menyerang kubu Sharif Osman di Marudu dan pertempuran telah berlaku di antara Inggeris dan Sharif Osman. Dalam pertempuran ini kubu Sharif Osman dapat dimusnahkan dan beliau sendiri telah terkorban dalam pertempuran itu.''

No comments:

Post a Comment