Me Me Me

Saturday, 16 August 2014

RAJA ISMAIL PEMERINTAH TEMPASUK 1760-AN

               Baginda merupakan ketua pemerintah di Tempasuk sekitar tahun 1700-an yang berpusat di Matampai. Matampai merupakan pusat pemerintahan Raja Ismail yang terletak berhampiran dengan Sungai Tempasuk. Sungai ini dipilih berdasarka kedudukannya yang tidak jauh daripada Laut China Selatan. Ada beberapa sumber menyatakan bahawa Sungai Tempasuk dipilih kerana kedudukan muara sungai ini yang sukar untuk dimudiki oleh pihak musuh, di mana peranan ombak yang menjadi penghalang kepada sesiapa sahaja untuk masuk melalui sungai ini turut diberi perhatian dan hanya orang yang mahir sahaja boleh memasukinya. Hujah ini ada kekuatannya, kerana menurut beberapa orang sarjana barat seperti Owen Rutter dan James Warren, orang Iranun adalah antara etnik yang mempunyai kemahiran di laut serta mempunyai kecekapan yang tinggi. Oleh itu, kedudukan Matampai sebagai pusat pentadbiran Raja Ismail adalah amat sesuai dan bertindak sebagai benteng pertahanan yang boleh membantu Raja Ismail menghadapi musuh-musuhnya.

                Pentadbiran baginda di Tempasuk adalah dibantu oleh anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak di samping beberapa pembesar beliau yang dikenali sebagai Datuk Sikiolo dan Tok Lukus. Menurut sumber keluarga ini, wilayah Tempasuk pada masa itu meliputi Kuala Sungai Tuaran dan Teluk Marudu. Hujah ini juga mempunyai kekuatan kerana semasa Pretymen dihantar ke Tempasuk sebagai residen pada tahun 1879, maka pada masa itu Tempasuk dianggap oleh barat sebagai sebuah kerajaan atau negeri.Antara peranan yang disumbangkan oleh Raja Ismail di nusantara ialah membantu Sultan Mahmud Shah menyerang Belanda di Riau Johor. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1781, di mana Sultan Mahmud Shah yang memerintah Riau Johor pada ketika itu telah menghantar utusan yang bernama Encik Talib ke Tempasuk untuk menyampaikan permintaan baginda kepada Raja Ismail, agar Tempasuk menghantar bantuan ketenteraan untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Baginda Sultan Mahmud Shah juga menyatakan bahawa Raja Tempasuk tersebut ada kaitan kekeluargaan dengan beliau. Maka itu, baginda Sultan Mahmud Shah tidak segan-silu untuk memohon bantuan ketenteraan daripada orang Iranun di Tempasuk untuk mengusir Belanda di Tanjung Pinang. Oleh kerana permintaan ini datang daripada Sultan Mahmud, maka Raja Ismail sendiri telah mengetuai angkatan tentera Tempasuk yang berjumlah sekitar lebih tiga puluh buah kapal dan perahu. Menurut sumber tempatan ukuran kapal mereka ini lebih kurang sembilan puluh kaki panjang yang boleh membawa enam puluh tan muatan dan boleh memuatkan seramai lebih satu ratus lima puluh orang.Perjalanan mereka ke Riau Johor tidaklah memakan masa yang lama kemahiran di laut membantu angkatan itu sampai dengan segera. Kapal dan perahu ini dilengkapi dengan peralatan senjata seperti meriam atau lebih dikenali sebagai ‘laila’, bersandarkan kekuatan dan kecekapan, maka tentera Raja Ismail pun belayar di Laut China Selatan, Perjalanan mereka ini tidak menghadapi masalah dan mereka sampai ke Riau Johor dengan selamat.Apabila Raja Ismail dan tenteranya sampai di Riau Johor, maka mereka diberi taklimat berkaitan kedudukan pihak Belanda di Tanjung Pinang. Setelah itu tentera Iranun pun bersiap sedia menyerang kedudukan Belanda di Tanjung Pinang, dan dalam serangan ini orang Iranun telah berjaya mengalahkan Belanda dan ramai tentera Belanda yang terkorban dan dalam serangan tersebut difahamkan Raja Ismail juga turut terkorban kerana semasa majlis meraikan kemenangan itu Raja Ismail tidak lagi disebut sebagai ketua yang diraikan, tetapi yang disebut hanya anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda.

                Angkatan ini telah diberi persalinan oleh Sultan Mahmud sebagai menghargai bantuan Tempasuk terhadap baginda dan peristiwa ini dinyatakan berlaku pada 1215 hijrah.Selepas itu, Raja Tebuk dan Raja Alam memohon untuk kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak, Datuk Sikolo dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memperhambakan diri kepada baginda Sultan Mahmud. Menurut sumber keluarga Raja Tebuk, Raja Alam tidak kembali ke Tempasuk tetapi beliau telah mengembara di kepulauan Nusantara. Faktor ini disebabkan Raja Ismail telah tiada dan pewaris seterusnya terhadap pentadbiran di Tempasuk diserahkan kepada Raja Tebuk. Maka Raja Tebuk pun memerintah Tempasuk dengan memakai gelaran sebagai Sultan Satebuk.Selain itu, pentadbiran Raja Ismail di Tempasuk juga ada kaitannya dengan kegiatan merompak kapal-kapal dagang barat yang memasuki perairan Nusantara. Kedudukan Kuala Tempasuk yang sukar dimudiki merupakan strategi Raja Ismail untuk mengelak serangan balas daripada pihak musuh. Serangan Datu Tating ke atas Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775 telah melibatkan pengikut Raja Ismail, di mana seramai 300 orang etnik Suluk dan Iranun telah menyerang pulau tersebut dan persefahaman antara dua etnik ini telah menggugat kedudukan Syarikat India Timur Inggeris (EEIC) yang cuba menjadikan Pulau Balambangan sebagai pusat perniagaan penting seperti Singapura (1819), Pulau Pinang (1786) dan Melaka (1824) (Baszley Bee, 2004:51). Semasa serangan ini pihak EEIC yang mempunyai kekuatan tentera seramai 100 orang dan dua buah kapal iaitu Endavor dan Pheonix telah mengalami kekalahan teruk dan banyak kemusnahan yang berlaku (Baszley Bee, 2004: 55). Akibatnya pulau Balambangan telah ditinggalkan oleh pihak EEIC kerana kedudukannya yang tidak selamat dan berada di wilayah yang mana masyarakatnya sangat kuat menentang Barat. Menurut Datu Tumai, orang Iranun merupakan salah satu etnik di Nusantara yang amat aktif menentang imperialism Barat. Manakala di Tungku orang Iranun juga turut melakukan penentangan, di mana penentangan ini diketuai oleh Raja Laut yang menyerang kapal-kapal Sepanyol dengan kekuatan tentera sekitar 1000 orang (Warren, 2002:160).Keterlibatan Raja Ismail serta orang Iranun Tempasuk ketika serangan Pulau Balambangan diperkuatkan melalui pertemuan antara pelayar-pelayar Iranun dan Suluk di Tanjung Simpang Mengayau. Menurut Pinjaman Hasin, para pengembara atau pelayar Iranun dan Suluk akan bertemu di Tanjung Simpang Mengayau untuk merancang strategi bagi menyerang kapal-kapal barat yang memasuki perairan Nusantara.


                Sumber-sumber sedia ada seperti yang dijelaskan oleh Owen Rutter, James Warren dan bebarapa penulis barat amat berkait dengan sumber tempatan.Menurut beberapa catatan bahawa Raja Satebuk juga turut terlibat merancang menyerang kedudukan Francis Light di Pulau Pinang yang dibuka 1786. Selepas peristiwa Riau Johor 1781, di mana kerajaan Kedah pada masa itu berada di bawah pentadbiran Sultan Abdullah telah mendapat maklumat berkaitan serangan orang Iranun ke atas Belanda di Raiu Johor, yang mana Belanda dapat ditewaskan oleh orang Iranun, maka baginda menawarkan kepada orang Iranun untuk menyerang Francis Light di Pulau Pinang bagi menggagalkan hasrat barat menguasai Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai pusat perniagaan penting. Kerajaan Kedah sanggup membayar $20,000.00 kepada etnik Iranun. Tawaran ini telah diterima oleh Raja Satebuk dan mereka berkampung di Sungai Perak bagi menunggu arahan sultan (Warren: 2002:61). Namun serangan ini tidak diteruskan dan orang Iranun kembali ke Tempasuk. Orang Iranun mengawal perairan Utara Borneo (Leigh Wright:1981:7), di mana Tempasuk merupakan pusat kegiatan utama mereka. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh peranan politik di sekitar nusantara terutama ancaman barat terhadap kuasa-kuasa tradisional yang sedia ada.Peranan Raja Satebuk terhadap pentadbiran Tempasuk telah berjaya mengekalkan penguasaan mereka di laut sehingga gelaran lanun atau perompak laut menjadi sinonim dengan orang Iranun. Beberapa tindakan Raja satebuk dilihat sebagai mengancam kedudukan kuasa-kuasa barat, antaranya serangan Raja Satebuk terhadap Ambong pada 1880an. Akibat tindakan tersebut Raja Brooke yang menguasai Sarawak pada masa itu telah menghantar pegawainya untuk menyiasat serangan tersebut (Ivor Evan: 1922:261).Apa yang jelas Kuasa Tempatan Iranun di Tempasuk telah banyak menyumbang kepada kegiatan menentang kuasa barat yang menjajah negeri-negeri Melayu di nusantara.


              Walaupun ada sesetengah dakwaan ahli sejarah barat, bahawa etnik Iranun adaalah golongan perompak laut atau ‘Lanun’ yang terlibat dalam perdagangan manusia iaitu hamba. Namun usaha etnik ini mengekang imperialisme barat amat mendapat perhatian kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan British. Kuasa-kuasa barat ini telah menghadapi tentangan sengit daripada etnik Iranun terutama ketika berlaku pertembungan di laut. Kesan terhadap penentangan ini, pihak barat telah mengalami kerugian serta korban besar. Pihak barat juga terpaksa melipatgandakan kekuatan pertahanannya untuk berhadapan dengan etnik Iranun terutama di lautan. Akibatnya juga etnik Iranun terus menjadi buruan dan ada yang menukar identiti mereka untuk tujuan keselamatan



Raja Ismail Pemerintah Tempasuk 1760-an

Baginda merupakan ketua pemerintah di Tempasuk sekitar tahun 1700-an yang berpusat di Matampai.

1 comment: