Me Me Me

Saturday, 16 August 2014

Shariff Osman : WIRA MARUDU

Shariff Osman : Wira Marudu
            Syariff Osman atau nama sebenarnya Syariff Osman Bin Syariff Mohamad Rum adalah seorang Ketua Wilayah atau Raja yang memerintah Marudu di antara tahun 1830 - 1845. Beliau berketurunan Bajau/Suluk dan telah diamanahkan oleh Sultan Sulu bagi mentadbir kawasan Marudu. Bapanya seorang yang berketurunan syariff atau syed dan merupakan salah seorang pembesar istana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei.
            Apabila Kesultanan Sulu mengambil alih beberapa kawasan di Borneo Utara dari Kesultanan Brunei, Syariff Osman telah dia amanahkan mentadbir wilayah Marudu. Pada masa ini, Struktur Pentadbiran Borneo ( Sabah ) di bawah Kesultanan Sulu telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan; iaitu Wilayah Marudu, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun. Wilayah Marudu meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan berakhir di Teluk Sandakan. Wilayah Mangindora pula meliputi kawasaan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan ( Tingkayu ), sehingga ke Sungai Apas. Manakala Wilayah Tirun menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Kesemua kawasan ini ditadbir oleh beberapa orang Ketua Sulu yang terdiri daripada Datu, Shariff, Tuan dan Pangeran. Walau bagaimanapun, Marudu adalah wilayah utama dan merupakan kawasan yang terbesar sekali di antara tiga wilayah itu. Marudu diketuai oleh Shariff Osman, Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol ( Sungai Sandakan ), Datu Bandar ( Pangeran ) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai ). Mana kala Wilayah Tirun ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan ( sebuah daerah di Teluk Darvel ).
             Shariff Osman telah berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang dikenali sebagai Dayang Cahaya iaitu anak Raja Muda Bantilan atau Sultan Badaruddin. Dayang Cahaya merupakan adinda kepada Raja Muda Sulu iaitu Datu Mohamad Buyo atau Maharaja Adinda Aranan Puyoh.
Syariff Osman telah mendirikan pusat pentadbirannya di kawasan Kuala Sungai Besar ( Sungai Bandau-Langkon. Beliau telah menjalankan perniagaan mengeksport hasil-hasil hutan dan laut seperti kapur barus, rotan, mutiara, beras bukit, kulit penyu, sarang burung, hasil-hasil laut dan sebagainya. Pada masa ini, Marudu muncul sebagai kawasan utama penyumbang hasil-hasil tersebut ke Sulu dan adalah wilayah yang terpenting sekali di antara semua wilayah Kesultanan Sulu. Syariff Osman juga dipertanggung jawabkan untuk memungut cukai untuk dirinya dan Sultan Sulu dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di kawasan Marudu. Oleh itu, beliau telah melantik wakilnya yang terdiri daripada Datu-datu Sulu dan Ketua-ketua Suku untuk menjalankan tanggung jawab ini.
              Pada masa ini juga, aktiviti pelanunan semakin berleluasa dan tidak dinafikan ada di antara ketua-ketua yang dilantik oleh Shariff Osman terlibat dalam aktiviti ini. Aktiviti ini sebenarnya dimulakan oleh pihak Sepanyol pada masa pelayaran Ferdinand Magellan. Ferdinand Magelland dicatatkan dalam sejarah oleh Pigafetta sebagai orang yang mula-mula sekali melanun di kepulauan Sulu. Ferdinand Magellan dalam perjalanan dari Sampang Mengayau ( Borneo ) pada tahun 1521 telah merompak kapal Wizurai Brunei di perairan Paragua ( Pulau Palawan ) dan menawan Raja Pulau Palawan iaitu Tuan Mahamud dan anaknya Tuan Ahmad. Ferdinand Magelland telah membawa Tuan Mahamud ke Pulau Palawan dan memaksa penduduk di sana memberi makanan seperti ayam, kambing, babi, pisang, ubi dan bermacam-macam lagi kepada rombongan Magellan. Sejarah ini telah memulakan aktiviti peperangan di laut di antara orang-orang barat dan orang-orang tempatan dan selalunya pihak yang kalah akan dirampas kapal dan harta bendanya. Tawanan akan dijual sebagai hamba di mana-mana pelabuhan dagang utama. Aktiviti ini juga berlaku di kalangan pihak yang bermusuhan sama ada di kalangan kapal-kapal dagang barat sesama sendiri atau di antara pihak barat dan pihak timur. Sebenarnya sejarah penjajahan baratlah yang memulakan aktiviti ini. Keadaan ini berterusan sehinggalah pada abad ke-18 dan ke-19. Antara kumpulan lanun Borneo dan Sulu yang terkenal ialah kumpulan orang-orang Illanun ( Irranun ), Balanini ( Bangingi ) dan orang-orang Dayak Laut.
           Sebenarnya, tidak ada satupun dokumen barat mahupun mana-mana dokumen dari Kesultanan Brunei atau Kesultanan Sulu yang dapat mengesahkan bahawa Syariff Osman telah merompak kapal dagang atau menyerang kampung mana-mana penduduk tempatan. Kebijaksanaan dan kepimpinan Syariff Osman sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu pihak Barat dan beberapa pembesar Brunei. Syariff Osman dan pengaruhnya yang kuat ketika di Borneo dan Sulu itu boleh mengancam kewibawaan dan kekuasaan pihak Barat dan Brunei. Lebih-lebih lagi, tindakan Syariff Osman mengisytiharkan dirinya sebagai " Pemerintah Bebas " telah menimbulkan kemarahan musuh-musuhnya dan jika tidak dihalang dan dimusnahkan sudah tentulah Syariff Osman akan menjadi Sultan di Borneo. Pihak pembesar Brunei, Rajah James Brooke dan pihak British North Borneo akan terancam dan akan mengagalkan semua agenda mereka di Borneo Utara. Dr.Ranjit Singh, dalam buku, Commorative History Of Sabah 1881 - 1981 membuat ulasan seperti berikut;
"In certain cases, where Brunei and Sulu authority was lax and the settled population feared attacks by pirates, men of out-standing ability, strength and an independent disposition were able to establish themselves as protectors and virtual independent chiefs"
         Oleh yang demikian, kemunculan Ketua Bebas seperti Shariff Osman adalah disebabkan oleh kemerosotan dan lemahnya kekuasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada masa itu dan disebabkan oleh meningkatnya ancaman lanun. Dalam hal ini, Shariff Osman adalah pilihan terbaik untuk memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada penduduk Borneo Utara, khasnya di Marudu daripada ancaman lanun. Dengan ini, adalah mustahil seorang ketua yang menjadi pelindung rakyat di wilayahnya menyamun, membunuh, merogol atau melanun orang-orang yang menjadi rakyatnya sendiri.
         Kesanggupan Shariff Osman untuk memberikan perlindungan terhadap orang-orang di bawah kekuasaannya dan kerelaannya untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman dan serangan lanun-lanun telah menyebabkan ramai orang yang datang dan tinggal menetap di wilayah Marudu. Ini menyebabkan berlakunya ledakan penduduk di Marudu sehingga Marudu menjadi wilayah yang terpenting dan paling ramai didiami penduduk Borneo Utara ketika itu.St. John dalam bukunya," Life in the Forest of the Far East " yang ditulisnya pada tahun 1863 menganggarkan penduduk dalam "daerah Marudu" ketika itu lebih kurang 50,000 orang . Jumlah ini tidak termasuk penduduk di kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi dan pulau-pulau sekitarnya yang juga berada di bawah pemerintahan Shariff Osman. Jumlah penduduk ini jauh lebih ramai dari penduduk Kerajaan Brunei dan Kerajaan James Brooke. Negeri Marudu telah muncul sebagai saingan terbaru Kerajaan Brunei dan Kerajaan Brooke dan jika tidak disekat dan dimusnahkan besar kemungkinan ia akan mengancam semua kerajaan yang ada di Borneo Utara ketika itu. Penduduk-penduduk yang tinggal di negeri Shariff Osman terlibat dengan aktiviti ekonomi penternakan dan perikanan, sementara mereka yang tinggal kawasan penempatan Shariff Osman menjalankan aktiviti ekonomi perdagangan.
KUBU SHARIFF OSMAN 1845
           Dalam rancangannya untuk memberikan perlindungan terhadap rakyatnya, Shariff Osman telah dibantu oleh sejumlah besar panglima dan pahlawan dari Sulu, Brunei dan Borneo yang sanggup menjadi pengikutnya. Dia telah membina kubu yang kuat di Kuala Sungai Besar yang dilengkapi dengan senjata api dan dua meriam yang besar. Bahagian depan kubunya telah ditempatkan kapal-kapal dan perahu perang yang sedia berperang pada bila-bila masa sahaja. Manakala perairan sungai bahagian hadapan kubunyan telah dipasang dengan rantai besi yang merentangi perairan kubunya agar kapal-kapal yang menyerang kubunya tidak dapat mendekati pangkalannya.

No comments:

Post a Comment